fb fb fb fb fb

"Saya mahu berehat dahulu" - Dhabitah

Foto BERNAMA

SEPANG, 14 Ogos- Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri kini hanya mahu fokus untuk berehat selepas mewakili negara ke temasya Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.

Atlet berusia 25 tahun itu menyatakan beliau masih belum menentukan berapa lama tempoh masa yang diperlukan sebelum kembali ke arena sukan terjun semula.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat bagi mencari semula semangat dan minat dalam sukan berkenaan selepas mengharungi semua cabaran di temasya terbesar dunia itu.

"Saya perlu set semula diri saya untuk acara seterusnya. Saya sudah ada perancangan cuma saya tiada kata putus untuk nak buat apa lagi."

"Sekarang, saya cuma nak berehat dahulu," kata Dhabitah kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada Selasa.

Dhabitah memperoleh tiket ke Olimpik Paris 2024 menerusi lebihan kuota tidak digunakan atlet negara lain, menamatkan acara akhir 3 meter papan anjal individu di tempat terakhir daripada 12 peserta pada 9 Ogos lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM