fb fb fb fb fb

RTM siar aksi Olimpik Paris 2024 selama 17 hari tanpa henti

RTM menyiarkan upacara pembukaan Olimpik Paris 2024, Sabtu ini, pukul 1.00 pagi, secara langsung

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal membawakan aksi Olimpik Paris 2024 selama 17 hari tanpa henti untuk tontonan rakyat Malaysia serta peminat sukan di seluruh negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, RTM sebagai penyiar rasmi temasya sukan berprestij itu berbangga menawarkan siaran berkenaan secara percuma selama 578 jam termasuk 170 jam siaran secara langsung.

"Kami berbangga menjadi penyiar rasmi Olimpik Paris 2024 dengan menawarkan 578 jam siaran percuma termasuk 170 jam siaran secara langsung bagi menyaksikan atlet negara bersaing bersama atlet ternama dalam temasya sukan paling berprestij dunia ini.

"Kami berikan anda akses bagi menyaksikan temasya sukan terulung dunia ini dimana sahaja melalui Saluran Okey, Saluran Sukan RTM dan tontonan secara dalam talian di RTMKlik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Suhaimi, RTM juga bakal menyiarkan siaran langsung upacara pembukaan Olimpik Paris 2024, Sabtu ini, pukul 1.00 pagi hingga 5.00 pagi (waktu Malaysia) dari Jardins du Trocadero dan Sungai Seine.

Begitu juga acara penutup pada 12 Ogos ini, 2.30 pagi hingga 5.30 pagi (waktu Malaysia) dari Stade de France.

"Inilah peluang seluruh rakyat Malaysia untuk bersorak dan menzahirkan sokongan kepada 26 atlet negara yang bersaing dalam pelbagai sukan penuh cabaran antaranya berbasikal, pelayaran, angkat berat, menembak, memanah, terjun, badminton, golf dan renang dalam usaha meraih emas Olimpik pertama Malaysia.

"Pastikan RTM menjadi pilihan untuk pengalaman dan keterujaan selama 578 jam siaran percuma termasuk 170 jam siaran langsung sukan penuh aksi. Sukan Terbaik Hanya di RTM," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA