UDINE, 14 Ogos - Paris Saint-Germain (PSG) memulakan musim baharu dengan penuh bergaya apabila menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti untuk merangkul Piala Super UEFA, selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol dan mengikat perlawanan 2-2 di Stadio Friuli, Itali.
Tottenham, yang beraksi buat kali pertama di bawah bimbingan jurulatih baharu, Thomas Frank, mendahului 2-0 hasil jaringan Micky van de Ven pada minit ke-39 dan Cristian Romero pada minit ke-48.
Namun, PSG mempamerkan kebangkitan dramatik apabila pemain gantian, Lee Kang-in merapatkan jurang pada minit ke-85 sebelum Goncalo Ramos menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.
Dalam penentuan sepakan penalti, PSG bermula kurang baik apabila sepakan Vitinha tersasar, tetapi penjaga gol baharu Lucas Chevalier menyelamatkan sepakan Van de Ven dan Mathys Tel pula gagal menemui sasaran. Nuno Mendes kemudian menjaringkan penalti yang memberi kemenangan untuk PSG.
Bagi Spurs, Dominic Solanke, Rodrigo Bentancur dan Pedro Porro berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing, manakala PSG turut menyaksikan Ramos, Ousmane Dembele dan Lee Kang-in menjaringkan gol sebelum Mendes memastikan trofi menjadi milik kelab Perancis itu.
Kejayaan ini merupakan kali pertama bagi PSG, atau mana-mana kelab Perancis menjuarai Piala Super UEFA, sekali gus menjadikan koleksi kejuaraan mereka pada tahun 2025 meningkat kepada lima trofi.
“Kami tidak mempunyai banyak masa persiapan, tetapi bola sepak bukan sekadar soal fizikal. Ia juga tentang aspek mental, berada di posisi tepat, serta taktikal yang betul,” kata kapten PSG, Marquinhos, kepada Canal Plus.
Bagi Luis Enrique dan pasukannya, kemenangan ini menjadi permulaan sempurna musim baharu, sebulan selepas tewas kepada Chelsea di final Piala Dunia Kelab FIFA. -AFP