KOTA KINABALU, 9 November - Pihak yang berminat untuk menyumbang atau jadi sebahagian daripada pemilik Sabah FC boleh kemukakan hasrat kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Presidennya, Datuk Shahelmey Yahya bagaimanapun berkata, mereka perlu penuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.
Beliau menggesa pihak yang berminat agar tampil membuat tawaran secara rasmi.
"Mereka boleh tampil ke hadapan. Tetapi perlu melalui semua syarat-syarat atau kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
"Bukan hanya suka-suka menyebut berminat dan selepas itu menggunakan nama-nama presiden, nama-nama Ketua Menteri dan sebagainya," katanya.
Khamis lalu, SAFA dalam satu kenyataan menafikan telah mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang mendakwa menerima tawaran penjualan saham kelab tersebut.