fb fb fb fb fb

Piala Thomas : Malaysia juarai kumpulan D, tewaskan Jepun 3-2 jumpa India di suku akhir

BANGKOK, 12 Mei - Malaysia menjuarai Kumpulan D dalam Pusingan Akhir Piala Thomas 2022 di Impact Arena di sini selepas menewaskan Jepun 3-2.

Kemenangan itu sekali gus melunaskan dendam skuad negara ke atas kekalahan 1-4 ketika bertemu juara 2014 itu pada edisi peringkat kumpulan sebelum ini di Aarhus, Denmark.

Kapten pasukan Aaron Chia dan pasangan beregunya Teo Ee Yi, mencuri tumpuan apabila mereka berjaya memainkan peranan pada saat getir untuk menyumbang mata ketiga yang juga mata kemenangan buat Malaysia pada perlawanan keempat.

Aaron-Ee Yi yang diturunkan sebagai beregu kedua negara membuktikan kekuatan daya tahan mereka apabila berjaya mengharungi 50 minit perlawanan penuh debaran bagi mengatasi pasangan Jepun Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17.

Terdahulu, jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia memberi sinar harapan kepada pasukan kebangsaan apabila beliau mudah menguasai perlawanan pertama berdepan Kento Momota.

Pemain nombor enam dunia itu dilihat garang sejak awal permainan yang menyaksikan Momota ketinggalan lapan mata dalam set pertama sebelum Zii Jia menang 21-17.

Segalanya tidak menjadi buat pemain nombor dua dunia Momota apabila beliau mengulangi kesilapan sama pada set seterusnya justeru membolehkan Zii Jia meraih kemenangan 21-8. 

 Meskipun gembira dapat menyumbang mata sulung buat Malaysia, Zii Jia percaya pemain Jepun itu yang ketika ini bukan pada kondisi terbaiknya akan bangkit semula.

Selain itu, strategi Malaysia untuk menurunkan juara beregu lelaki Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai beregu utama ternyata berhasil apabila mereka berjaya mengejutkan juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi bagi membolehkan Malaysia mendahului dua mata.

Beregu nombor 13 dunia Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan aksi mengagumkan untuk akhirnya meraih kemenangan pertama mereka ke atas pasangan nombor empat dunia itu selepas tiga kali pertemuan sejak Terbuka Perancis 2017.

Sze Fei-Nur Izzuddin menang set pertama dengan perbezaan tipis 21-19 dan terus mengutip mata kedua negara dengan mencatatkan kemenangan 21-16 pada set kedua.

Pemain senior Liew Daren bagaimanapun gagal membawa momentum kemenangan Malaysia dalam permainannya apabila beliau membuka ruang untuk Jepun meraih satu mata, selepas kecundang straight set kepada pemenang Terbuka Perancis 2021 Kanta Tsuneyama, 16-21, 20-22.

Walaupun Malaysia telah memusnahkan harapan Jepun untuk mengungguli peringkat kumpulan susulan kejayaan Aaron-Ee Yi, Kento Nishimoto terus berjuang bagi menundukkan pemain muda negara Leong Jun Hao, 21-6, 19-21, 21-15, dan menyumbang mata kepada pasukannya.

Malaysia yang merupakan Juara Kumpulan D diundi bertemu India, Naib Juara Kumpulan C  pada suku akhir Final Piala Thomas.

Malaysia akan berhadapan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir.

Undian turut menyaksikan juara bertahan Indonesia bertemu China yang merupakan seperti satu ulangan final tahun lepas sementara Juara Kumpulan C, Taiwan akan menentang Jepun. 

 

 


(Liew Daren melepaskan satu mata kepada Jepun apabila tewas di tangan Kanta Tsuneyama)

Media Baharu