KUALA LUMPUR, 3 April - Malaysia harus menerima hakikat bahawa laluan berliku tetap menanti mereka pada Piala Thomas 2024 walaupun dengan kehadiran pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia, di Chengdu, China.
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata prestasi pemain perseorangan termasuk Zii Jia ketika ini masih tidak menentu ditambah lagi isu kecederaan yang menimpa pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022, Ng Tze Yong.
“Kecederaan Tze Yong sebenarnya sudah menjejaskan kita pada Piala Thomas 2024 dan jika Zii Jia tidak mahu bermain pastinya pasukan akan berasa 'goyang'.
“Pasukan harus bersedia terima keputusan Zii Jia, kalau dia setuju main mungkin beri kelegaan namun saya masih tidak dapat lihat lagi ke mana hala tuju pasukan di Piala Thomas 2024,” katanya kepada Bernama.
Status penyertaan Zii Jia menimbulkan persoalan selepas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky semalam berkata pemain ranking ke-11 dunia itu masih belum pasti untuk mewakili negara pada kejohanan berpasukan berprestij dunia itu.
Rexy berkata Team LZJ sedang merangka perancangan terbaik buat juara All England 2021 itu dalam menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, dijadual berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos.
Pakar beregu dari Indonesia itu sebelum ini pula berkata Tze Yong, yang sedang menjalani proses pemulihan susulan pembedahan pada bahagian belakang baru-baru ini, mungkin dipertimbangkan untuk disenaraikan ke Piala Thomas 2024 bergantung kepada keadaannya dalam beberapa minggu ini.
Malaysia, yang turun selaku pilihan kelima Piala Thomas 2024 diletakkan dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah dan juara 2016 Denmark selain Hong Kong dan pasukan dari benua Afrika, Algeria.
Dengan kem perseorangan negara dijangka mengharungi ranjau berduri berdepan Denmark, Roslin berkata prestasi mereka menentang Hong Kong menjadi penentu kemaraan skuad negara untuk melepasi peringkat kumpulan dan layak ke suku akhir.
“Hong Kong pastinya bergantung kepada barisan perseorangan mereka untuk mencuri mata daripada Malaysia memandangkan pemain mereka kuat. Kita pula ada kelebihan pada beregu.
“Katakan Zii Jia main di Piala Thomas, sukar juga untuk menjangkakan persembahannya sekiranya beliau berdepan pemain utama Hong Kong, Angus Ng Ka Long, kerana rekod pertemuan tidak memihaknya,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Ka Long, yang menduduki ranking ke-26 menang empat daripada tujuh pertemuan berdepan Zii Jia sebelum ini.
Sekiranya Zii Jia tidak mahu ke Piala Thomas dan Tze Yong pula kurang cergas, Roslin berkata Malaysia tiada pilihan selain bergantung kepada Leong Jun Hao yang mungkin diletakkan sebagai pemain utama serta dua pemain muda, Justin Hoh dan Eogene Ewe.
Justeru, beliau yang pernah membantu skuad negara muncul naib juara pada edisi 1998 dan 2002, berharap barisan pemain terlibat dapat menggalas tanggungjawab diamanahkan bagi membuktikan keupayaan mereka tanpa sandaran utama di Chengdu.
Tarikh akhir penghantaran nama ke Piala Thomas 2024 adalah pada 13 April ini.
Piala Thomas 2024 bakal bermula pada 27 April hingga 5 Mei ini. - BERNAMA