KUALA LUMPUR, 3 Mei - Malaysia berjaya mara ke separuh akhir saingan Piala Thomas 2024 selepas membenam Jepun 3-1 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Hi-Tech, Chengdu.
Pada saingan suku akhir, skuad negara memperolehi mata pertama menerusi pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia apabila mudah menewaskan Kenta Nishimoto dalam straight set, 21-13, 21-3.
Bagaimanapun, Kem negara tersentak seketika apabila beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijinakkan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 18-21, 21-14, 21-19.
Aksi cemerlang Leong Jun Hao membolehkan Malaysia berada di hadapan 2-1 selepas dia berjaya menundukkan pemain diranking ke-22 dunia, Koki Watanabe, 21-13, 21-19.
Malaysia mengesahkan kemaraan apabila gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakarkan kemenangan berharga buat negara.
Tewas pada set pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya bangkit dua set berikutnya untuk menundukkan Akira Koga-Taichi Saito 18-21,21-15, 21-12.
Menanti skuad negara di separuh akhir adalah tuan rumah China yang menyingkirkan juara bertahan India 3-1.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau lapan tahun untuk mara ke separuh akhir sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan, China.
Kali terakhir skuad negara menjuarai Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.