KUALA NERUS, 29 Jun- Piala Fa suku akhir, perlawanan pertama pertemuan diantara Terengganu FC TFC dan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan tuan rumah, Sang Penyu membenam Skuad Sang Badak dengan jaringan 4-0.
Kesemua gol tersebut dijaringkan pada separuh masa pertama permainan.
Terdahulu, menerusi hantaran-hantaran pendek yang tersusun, TFC memperolehi gol pembukaan mereka pada minit ke-8, iaitu menerusi Manuel Ott.
Pemain berjersi nombor lapan itu menjaringkan gol pertama buat tuan rumah selepas menerima hantaran Safawi Rashid di dalam kotak penalti.
Sekali gus berjaya menembusi gawang Sabah FC dikawal penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Gol tersebut turut menyaksikan barisan hadapan pasukan Sabah bertungkus lumus melancarkan serangan ke kubu gawang tuan rumah yang dikawal penjaga gol Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Bagaimanapun peluang terbaik seterusnya hadir buat TFC pada minit ke-19, namun palang pula menjadi penghalang buat Manuel Ott untuk mencipta gol kedua.
Seakan gerakan gol pertama, jaringan kedua TFC hadir pada minit ke-36, tetapi kali ini gol diperolehi menerusi Ismaeel Akanade.
Malah sorakan lebih 15,000 penyokong tuan rumah sekali lagi bergema apabila barisan pertahanan Sabah FC bocor lagi dan dikejutkan dengan gol ketiga TFC pada minit ke-41 menerusi rembatan pemain tengahnya Marin Pilj dalam kotak penalti.
Seterusnya pada minit akhir tiga minit masa tambahan diberikan sebelum rehat, Ismaeel Akanade mengamatkan lagi gema sorakan para penyokong apabila tidak mempersia-siakan peluang menjaringkan gol keempat TFC hasil gerakan serangan pantas ke kubu pelawat, untuk kedudukan 4-0 sebelum rehat.
Pada minit ke-70, Ramon De Macedo berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan tuan rumah.
Namun jaringannya itu tidak disahkan pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir keraba didapati terlebih dahulu melakukan kesalahan menjatuhkan pemain pertahanan Muhammad Safwan Mazlan.
Malah pada separuh babak kedua, tuan rumah yang dilihat memperlahankan pemainan diawal babak separuh kedua digunakan Sabah FC ubtuk terus mengasak kubu tuan rumah.
Tetapi kecemerlangan Muhammad Nasrulhaq berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee ini.
Keputusan agregat 4 gol kosong kekal hingga tamat perlawanan untuk dibawa TFC untuk pertemuan timbal balik suku akhir Piala FA di gelanggang lawan.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui kelemahan barisan pertahanan dengan melepaskan gol mudah pada separuh masa pertama dan hanya mampu menunjukkan kebangkitan corak permainan pada separuh masa kedua.
Malah ianya bukan satu tugasan mudah buat pasukannya di Stadium Likas Kota Kinabalu nanti untuk memadam kelebihan dimiliki Terengganu FC.
"Kalau kita ikut jumlah gol agak besar. Kita perlu realistik di sini tetapi seperti yang saya katakan tiada yang mustahil. Kalau kita mengikut perancangan dengan lebih baik selepas ini.
"Kalau kita dapatkan gol awal, kita mendapatkan gol kedua sudah tentu banyak memberi motivasi. Tetapi itu bukan bermakna kita akan banyak dengan dua gol atau tiga gol tetapi kita perlu memikirkan cara yang terbaik untuk kita kekal bersaing apabila wisel itu bermula di Kota Kinabalu,"katanya.
Sementara itu bagi Penolong Jurulatih Badrul Afzan Razali yang mengalas tugas ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner yang sedang menjalani kuarantin COVID- 19, ketua jurulatih memberi kebenaran kepadanya untuk menyusun strategi terbaik pada perlawanan malam tadi.
Selain memberi kredit kepada usaha para pemain yang begitu bersemangat untuk mencapai kemenangan di hadapan penyokong.
Sekali gus memperolehi jumlah gol yang besar untuk dibawa ke gelanggang lawan:
"Jangan cepat hilang bola kita tahu fizikal pemain Sabah memang tinggi, kalau tengok fizikal tu memang kita kalahlah, atas kertas. Tetapi saya bagitahu pemain-pemain supaya 'enjoy' saja permainan.
"Apabila kita dapat bola kita kuasai permainan. Alhamdulilah malam ini ia menjadi, semua pemain bekerjasama. Itulah yang dinamakan rezeki. Rezeki saya dan pemain-pemain pada malam ini,"katanya.
Perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA antara kedua-dua pasukan ini dijadual berlangsung 6 Julai ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah bermula pukul 7.15 malam.