fb fb fb fb fb

PERKESO beri RM3,555 sebulan kepada keluarga mendiang P.Rajes

SELANGOR, 21 Oktober- Keluarga pemain bola sepak PJ City, mendiang P.Rajes diberikan wang sebanyak RM3,555 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Sri Subahan Kamal berkata bayaran ini akan berterusan kepada keluarga mendiang dan sehingga anak-anaknya mencecah usia 21 tahun.

 
(Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal)

"Sekiranya anak menjadi 21 tahun kita melihat kalau mereka dapat sambung belajar, pihak SOCSO pihak PERKESO akan terus membayar, ini adalah satu perkara yang amat baik yang mana kita pun ramai tidak tahu bahawa kita wajib untuk mencarum SOCSO," katanya.

Beliau berkata, Perkeso menyarankan majikan supaya membuat caruman ke atas pekerjanya kerana keluarga akan mendapat manfaat jika berlaku apa-apa kepada pencarum.

Skuad Perkeso Prihatin mengambil langkah proaktif dengan memproses bantuan faedah yang mana waris mendiang layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Balunya, S Komathy, 36, bersama tiga anaknya, Thivyaakini, 9, Pirutheswar,7, dan Kaveenilavab, 2, akan menerima FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Komathy berkata, bantuan ini sedikit sebanyak meringankan bebannya yang kehilangan suami yang selama ini menyara mereka sekeluarga termasuk ibu mentua dan neneknya.

Dalam pada itu, Pasukan Bola Sepak PJ City turut memberikan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mendiang dalam menguruskan pengebumiannya.

Media Baharu