KOTA BHARU, 24 Jun- Pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) diingatkan supaya tidak terlalu selesa selepas meraih kemenangan pertama musim ini menewaskan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Penolong Ketua Jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya berkata pemain boleh meraikan kemenangan sulung mereka itu namun perlu kekal fokus kepada perlawanan seterusnya terutama untuk berdepan Kedah Darul Aman (KDA FC) pada 12 Julai.
“Biarlah pemain kami bergembira kerana mereka sebelum ini menghadapi pelbagai tekanan.
“Bagaimanapun, barisan jurulatih akan memantau pemain semasa latihan agar mereka tidak leka dengan kemenangan kerana perjalanan perlawanan pasukan musim ini terlalu jauh lagi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Kemenangan di laman sendiri itu dihadiahkan pemain tengah KDN FC, Oday Ali Kharoub yang menjadi penyelamat melalui sepakan penalti pada minit ke- 28.
Sementara itu ketua jurulatih PDRM FC, P Maniam berkata tuan rumah layak mendapat kemenangan itu susulan kesungguhan pemain yang beraksi dengan penuh semangat dan berdisiplin tinggi.
"Kekalahan ini sudah tentu satu keputusan buruk kepada kami namun kita tengok KDN FC bersemangat tinggi dan mereka lebih agresif mencipta peluang menjaringkan gol,” katanya.