fb fb fb fb fb

Pelantikan Timbalan Menteri: Mordi Bimol komited perkasa belia, sukan negara

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebagai satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan belia serta pembangunan sukan negara.

Dalam satu kenyataan media hari ini susulan rombakan Kabinet, Mordi berkata beliau menerima pelantikan tersebut dengan kesediaan untuk menyumbang sebaik mungkin, khususnya dalam memperkukuh usaha sedia ada di peringkat kementerian.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negara atas kepercayaan yang diberikan, serta kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan pandangan sepanjang perjalanan saya,” katanya.

Menurut beliau, fokus awal adalah untuk memahami secara menyeluruh peranan dan keperluan Kementerian Belia dan Sukan, di samping menyokong inisiatif pembangunan belia dan sukan, terutama di peringkat akar umbi.

Mordi turut mengakui keterbatasan dirinya sebagai pemimpin dan menegaskan keperluan untuk terus belajar dalam melaksanakan tugas baharu tersebut.

“Pengalaman saya sebagai wakil rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, akan menjadi panduan dalam menyumbang secara berperingkat dan berlandaskan realiti di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen P.192 Mas Gading, dengan memberi keutamaan kepada khidmat kepada rakyat serta usaha memperjuangkan keperluan pembangunan masyarakat setempat.

Mordi Bimol kini memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Mas Gading dan Naib Pengerusi DAP Sarawak.

AZRUL FAIZAL JUSOH