KUCHING, 23 September- Acara pecut yang berlangsung di Stadium Sarawak hari ini menyaksikan tiga rekod baharu dicipta menerusi 100 meter lelaki T12, 100 meter lelaki T13 dan acara 100 meter T47.
Dalam acara 100 meter lelaki T12, atlet Selangor Muhammad Noor Helmie Mohd Rabi memenangi emas dengan catatan masa 11.38 saat, memadam rekod lama 11.40 saat.
Pingat perak dan gangsa masing-masing milik atlet Johor menerusi Muhamad Afiq Ali Hanafiah dan Amri Muqtadar Asrulnazri.
Bagi acara 100 meter lelaki T13, atlet Selangor, Ikmal Fadhillah Abu Arqam turut mencatat rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 11.51 saat.
Ikmal mengatasi pencabar tuan rumah, Flexcy-vius Michael Ketet Bakar di tempat kedua manakala tempat ketiga milik atlet Kuala Lumpur, Muhamad Nazri Hazim Mohan.
Sementara itu, bagi acara 100 meter T47, atlet Sabah, Mukhriz Ameer Izuddin Abdul Rauf mencatat 11.10 saat, memadam rekod lamanya 11.50 saat.