ISKANDAR PUTERI, 29 September - Johor Darul Ta’zim (JDT) yakin kesebelasan utama mampu melaksanakan tugas dalam pertemuan menentang Machida Zelvia FC pada aksi Liga Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Skuad Harimau Selatan diyakini memiliki barisan pemain berkualiti meskipun kehilangan tiga tonggak utama yang berdepan penggantungan FIFA.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz menegaskan, walaupun ada beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan, beliau tetap optimis dengan kekuatan pasukan.
"Esok kami akan turunkan kesebelasan utama. Kami mempunyai 34 pemain setaraf, namun tetap perlu memilih yang terbaik," katanya.
Nada keyakinan sama turut disuarakan pertahanan JDT, Shane Lowry, yang menyifatkan suasana di bilik persalinan cukup positif menjelang aksi penting itu.
"Semua pemain mahu beraksi, tetapi skuad kami besar. Semangat pasukan tinggi, latihan berjalan baik. Liga Jepun antara terbaik di Asia, dan inilah perlawanan yang dinanti setiap pemain," jelas Lowry.
Di kem lawan, Ketua Jurulatih Machida Zelvia, Go Kuroda pula percaya barisannya mampu memberi saingan sengit meski baru pertama kali tampil di pentas ACLE.
"Ini kali pertama kami menyertai ACLE. Esok kami perlu tampilkan aksi terbaik dan kami tetap menjadi pencabar," kata Kuroda.
Sementara itu, pemain Machida Zelvia, Yuta Nakayama meluahkan rasa teruja beraksi di gelanggang keramat Harimau Selatan sambil berharap sokongan penyokong turut mengiringi mereka.
"Ini perlawanan pertama kami di tempat lawan. Stadium ini sangat cantik, dan saya berharap penyokong hadir memberi sokongan," menurut Nakayama.

