fb fb fb fb fb

Muhamad Aznil catat rekod kebangsaan baharu angkat berat

(Badang negara Muhamad Aznil Bidin berjaya merangkul pingat perak) 

HANOI, 20 Mei- Badang negara Muhamad Aznil Bidin berjaya merangkul pingat perak acara angkat berat kategori 61 kilogram (kg) di Sukan SEA ke-31 di sini, dengan catatan rekod kebangsaan baharu.

Pada aksi di Hanoi Sports Training & Competition Center hari ini, atlet berusia 27 tahun itu berjaya mengangkat bebanan sebanyak 287kg, untuk mengatasi rekod 285kg yang dilakukannya di Pattaya, Thailand pada 2019.

Bebanan itu juga, hanya 3kg kurang berbanding pemenang perak di Sukan Olimpik  Rio 2016 dan Tokyo 2020 dari Indonesia Eko Yuli Irawan, yang mempertahankan pingat emasnya dengan angkatan keseluruhan 290kg.

Wakil tuan rumah, Ngoc Trung Nguyen berpuas hati dengan gangsa menerusi angkatan 286kg.

“Bukan rezeki saya kerana angkatan kedua terbatal, kalau tidak mungkin saya boleh meraih emas pada hari ini. Keputusan ini memberikan keyakinan kepada saya untuk mempertahankan emas di Sukan Komanwel pada Julai ini, tetapi perlu mengekalkan prestasi ini,” katanya.
 
Pencapaian hari ini juga, menyaksikan beliau berjaya menukar warna pingat selepas meraih gangsa dengan angkatan sebanyak 283kg pada edisi 2019 di Filipina.

Sementara itu, Marceeta Marlyne Marcus meluahkan kekecewaan selepas hanya mampu menamatkan saingan di tempat kelima bagi kategori 59kg wanita, dengan angkatan keseluruhan 178kg.

(FOTO FB MSN)

“Prestasi hari ini tidak mencapai angkatan terbaik saya. Kita sedia maklum skuad dibubarkan pada tahun lepas (kerana isu doping), selepas sambung balik latihan, saya mengalami kecederaan pergelangan tangan.

“Jadi saya hanya ada dalam sebulan persiapan selepas sembuh, mungkin ia mempengaruhi keputusan hari ini. Selepas ini saya akan meneruskan persiapan untuk Sukan Komanwel, berharap dapat meningkatkan prestasi,” katanya.

Wakil tuan rumah Hoong Thi Duyen berjaya mempertahankan emas dengan angkatan seberat 204kg, manakala Pimsiri Sirikaew (196kg) dari Thailand dan Naw Ta Boe Yar (191kg) dari Myanmar masing-masing meraih perak dan gangsa.- BERNAMA

Media Baharu