KUALA LUMPUR, 6 Mac - Majlis Paralimpik Malaysia, MPM opitimis pencapaian kontinjen ke Paris 2024 boleh mengatasi pencapaian di Tokyo empat tahun lalu.
Keyakinan ini disuarakan Presiden MPM,Datuk Seri Megat D Shahriman kerana masih terdapat atlet-atlet yang sedang berjuang dalam mendapatkan slot ke temasya itu.
Setakat ini sembilan atlet daripada sukan olahraga,renang, memanah dan berbasikal telah mengesahkan slot ke Paris.
MPM menjangkakan 20 hingga 25 atlet akan menggalas cabaran ke temasya yang bermula 28 Ogos depan.
Selain slot secara merit, MPM juga menjangkakan menerima slot ‘bai-partait’ dan tiket wild card menjelang Mei ini.
"Kalau saya lebih dari 20. Ini sasaran kita kerana saya perlu hormati sayangi dan sanjung atlet para ni kerana mustahil buat semua untuk layak. Hanya yang terbaik sahaja yang akan layak.
Tapi saya percaya mereka masih mencuba dan masih lagi berjuang", katanya yang ditemui media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman MPM dan sembilan rakan strategik TambahEmas Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pencapaian terbaik Malaysia adalah di Tokyo 2020 dengan meraih tiga pingat emas dan dua perak, mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.
Sementara itu, persiapan dan latihan atlet renang para negara tidak terjejas meskipun salah seorang jurulatih telah ditamatkan kontrak atas dakwaan isu salah laku.
Presiden Persatuan Renang Para Malaysia, PREMA, Datuk Seri Megat D Shahriman mengesahkan pihaknya telah menerima jurulatih baharu dari Jepun, Minemura Fumiyo untuk membantu meneruskan latihan atlet.
"Memang kami ada jurulatih dari Jepun yang baru tiba iaitu jurulatih Fumiyo dan pihak PREMA telah berterima kasih kepada Menteri kerana kami telah mohon jurulatih dari tahun lepas dan insya-Allah jurulatih ini boleh buat apa yang difikirkan perlu", katanya.
Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan salah laku jurulatih berkenaan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis untuk siasatan.