KUALA LUMPUR, 28 Mei- Dua pemain golf profesional negara masing-masing Gavin Kyle Green dan Ashley Lau kekal menjadi taruhan Persatuan Golf Malaysia (MGA) bagi menggalas cabaran negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula Julai depan.
Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata ia selepas kedua-dua pemain itu masih konsisten menempatkan diri dalam kelompok 60 terbaik layak ke temasya tersebut yang berbaki kurang sebulan tarikh kelayakan ditutup.
Gavin masih dalam landasan tepat untuk ke Olimpik selepas berada di kedudukan ke-52 bagi kategori lelaki sementara Ashley di kedudukan ke-50 bagi kategori wanita berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan.
"Saya optimis kedua-dua mereka akan layak sebab ikutkan tarikh kelayakan masih ada sehingga Jun (17 Jun untuk lelaki, 24 Jun untuk wanita).
“Ada banyak lagi kejohanan akan disertai, jadi mereka perlu terus konsisten dan pastikan ranking tersebut tidak akan jatuh," katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Siri Golf Wanita Poh Kong di sini hari ini.
Malaysia sebelum ini turut meletakkan harapan buat seorang lagi pemain golf profesional wanita iaitu Natasha Andrea Oon (ranking ke-59) bagi melayakkan diri ke temasya paling berprestij di dunia itu.
Pada Olimpik 2020 di Tokyo, Malaysia menghantar dua wakil ke temasya tersebut masing-masing Gavin dan Kelly Tan bagi kategori wanita.
Sementara itu, edisi kedua Siri Golf Wanita Poh Kong bertujuan mengalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam sukan golf, meletak sasaran lebih 120 peserta bersaing merebut trofi cabaran yang buat julung kali diperkenal.
Pusingan pertama akan diadakan pada 3 Julai di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini, sementara pusingan kedua pada 15 Okt di Horizon Hills Golf and Country Club, Johor Bahru, Johor.-BERNAMA