fb fb fb fb fb

Malaysia ungguli kejohanan dunia memanah berkuda di Indonesia

Kontinjen Malaysia bergambar di atas podium bagi juara keseluruhan Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda IHAA 2025, mengatasi pasukan dari Turkiye (naib juara) dan Indonesia (tempat ketiga), dalam pertandingan yang berlangsung di Wening Academy, Bogor, Jawa Barat/Foto Liga Memanah Berkuda Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Malaysia mengungguli kejohanan memanah berkuda selepas menewaskan saingan utama dari Turkiye dan Indonesia dalam pertandingan International Horseback Archery Alliance (IHAA) World Kids Championships 2025 yang berlangsung di Bogor, Indonesia pada Ahad.

Kejayaan membanggakan itu menyaksikan kontinjen Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala Turkiye menduduki tempat kedua dan Indonesia di tempat ketiga.

Pencapaian itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menyifatkan pencapaian atlet cilik negara sebagai bukti kemampuan bakat muda bersaing di peringkat antarabangsa.

“Anak-anak Malaysia terus membanggakan negara di pentas dunia sekali gus membuktikan bahawa potensi atlet kita boleh berkembang di pelbagai ruang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pasukan negara diwakili lima atlet muda berbakat besar iaitu Abu Bakr Muhammad Akmal, Abdurrahman Ahmad Mu’az, Muhammad Muhamad Akmal, Hazzil Hamidi, dan Heba Nusaybah Ahmad Mu’az.

Mereka mempamerkan aksi cemerlang dengan membawa pulang sembilan pingat emas, lima pingat perak, dan dua pingat gangsa dalam pelbagai kategori umur.

Kejohanan Dunia Kanak-Kanak Memanah Berkuda IHAA 2025 berlangsung pada 9 hingga 13 Julai di Bogor, Jawa Barat, Indonesia menghimpunkan penyertaan dari 15 buah negara.

Antaranya Perancis, Turkiye, Kazakhstan, China, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Uzbekistan, Malaysia, Indonesia, Singapura, Jepun, Taiwan, Afrika Selatan dan Mongolia.

GRACE AISYAH KEDAYAN