LONDON, 9 Ogos- Persiapan Wolverhampton Wanderers menghadapi saingan musim ini sedikit terganggu apabila Julen Lopetegui melepaskan jawatannya sebagai jurulatih kelab itu.
Tindakan tersebut berpunca akibat tidak berpuas hati pengurus berbangsa Sepanyol itu berkaitan polisi pembelian pemain yang disifatkannya 'lemah'.
Media England melaporkan penjualan beberapa pemain utama kelab berkenaan seperti Ruben Neves, Conor Coady, Nathan Collins, Ryan Giles dan Raul Jimenez tidak dimanfaatkan oleh pengurusan kelab Wolves, sebaliknya hanya membawa masuk dua pemain secara perpindahan percuma iaitu Matt Doherty dan Tom King.
Pendekatan itu tidak dipersetujui oleh Lopetegui selepas beberapa pemain utama meninggalkan pasukan musim ini dan tidak ramai pemain muncul sebagai pengganti.
Lopetegui menyertai Wolves pada November lalu, menggantikan Bruno Lage, dengan kelab itu menghuni tangga tercorot EPL sebelum membantu mereka bertahan di liga utama yang menyaksikan kelab menamatkan aksi di tangga ke-13.
Ketika ini bekas ketua jurulatih Bournemouth, Gary O'Neil dilaporkan menjadi calon utama untuk menggantikan Lopetegui.
(Bekas pengendali Wolverhampton Wanderers, Julen Lopetegui/FOTO FB GOLPERU14)