fb fb fb fb fb

Liga Super: Sabah benam Kedah 5-2 di laman sendiri

Pemain Sabah FC meraikan kejayaan mereka selepas membenam Kedah Darul Aman FC 5-2 di Stadium Likas, mencipta rekod kemenangan hatrik di laman sendiri dalam saingan Liga Super/Foto Sabah FC

KOTA KINABALU, 30 Oktober – Sabah FC mengukuhkan kedudukan mereka pada aksi Liga Super dengan kemenangan bergaya di laman sendiri apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-2 di Stadium Likas, malam tadi.

Perlawanan dimulakan dengan pantas apabila Saddil Ramdani membuka jaringan untuk Sabah FC melalui sepakan penalti seawal minit pertama.

Bagaimanapun, KDA segera menyamakan kedudukan menerusi tandukan Jose Cleylton pada akhir separuh masa pertama, menjadikan kedudukan 1-1.

Sabah kembali memimpin di awal babak kedua apabila Joao Pedro menjaringkan gol kedua pada minit ke-48.

Kedah sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-62 menerusi jaringan Milos Gordic, namun kealpaan barisan pertahanan Kedah memberi ruang kepada Joao Pedro menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-67 untuk kedudukan 3-2.

Kumaahran Sathasivam dan Gary Steven Robbat melengkapkan kemenangan Sabah FC masing-masing pada minit ke-84 dan minit ke-87, dengan kedudukan muktamad 5-2.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menyatakan bahawa pasukan masih perlu memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan.

"Kita harus perbaiki. Saya masih lagi tidak berpuas hati dengan gol-gol kita bolosi, di mana itu satu perkara yang boleh kita perbaiki dan elakkan pada perlawanan-perlawanan yang akan datang," katanya selepas perlawan berakhir malam tadi.

Dalam pada itu, ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain akui cabaran bermain di tempat lawan selain memberikan pujian kepada pasukannya meskipun keputusan tidak memihak kepada mereka.

"Bagi saya, hal ini saya tidak boleh nak komen sangat dari segi persembahan. Walaupun keputusan bukan yang kita inginkan, 5-2 adalah jumlah bolos yang agak tinggi, tapi menjaringkan gol di Kota Kinabalu ni bukan satu benda yang mudah," katanya.

Perlawanan seterusnya, Sabah FC akan bertemu Kelantan Darul Naim FC di Likas pada 3 November depan.

Manakala Kedah akan menentang Selangor FC di Stadium Darul Aman pada 2 November ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN