fb fb fb fb fb

Liga Super: Perak dan NSFC sekadar seri

Foto BERNAMA

MANJUNG, 9 Mac-Perak FC mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan Negeri Sembilan FC, malam tadi (Sabtu).

Keputusan itu menyaksikan Perak FC kekal di tangga ketujuh manakala Negeri Sembilan FC di kedudukan ke-12.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung menyaksikan kedua-dua pasukan bermula garang dengan saling berbalas serangan di awal permainan.

Negeri Sembilan FC dipaksa bermain 10 orang seawal minit ke-29 selepas tonggak pertahanan Harith Samsuri diperintah keluar padang kerana mengasari Wan Zack Haikal.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, asakan bertali arus skuad The Bos Gaurus bagaimanapun digagalkan oleh aksi cemerlang penjaga gol Negeri Sembilan FC Muhamad Aqil Abdul Razak.

Kedudukan 0-0 kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui, kekurangan perlawanan liga menjejaskan momentum dan corak permainan pasukannya.

"Kita melihat kepada pasukan yang serba serbi tidak lengkap, kerana pasukan yang lengkap mereka boleh panggil pemain dan permainan sentiasa ada.

"Kita kekurangan perlawanan, dan juga macam kita hari ni perlawanan hari ni dan seterusnya 6 April depan.

"30 hari perlawanan yang akan dilangsungkan kemudian akan merencatkan setiap pergerakan pemain", katanya yang ditemui selepas perlawanan di sini.

Dalam pada itu, jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar berpuas hati dengan komitmen anak buahnya selepas terpaksa beraksi hampir 60 minit dengan 10 pemain.

"Walaupun kita bermain di tempat lawan, dan bermain dengan 10 pemain, semua memberi komitmen 100 peratus termasuk Aqil yang boleh dianggap sebagai pemain terbaik perlawanan", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD