fb fb fb fb fb

Liga Perancis: PSG terus kukuh kedudukan di persada liga

Pemain PSG, Gonçalo Ramos meraikan jaringan gol kedua mereka bersama Bradley Barcola. / Foto REUTERS

RENNES, 9 Mac-Pendahulu Ligue 1, Paris St Germain (PSG), terus melebarkan kedudukan dengan kemenangan 4-1 ke atas Stade Rennais pada Sabtu.

Pemain gantian, Ousmane Dembele, menjaringkan dua gol pada masa tambahan ketika PSG mencatat kemenangan liga keenam berturut-turut.

PSG, yang masih belum tewas musim ini, kini mengumpul 65 mata, 16 mata di hadapan Olympique de Marseille yang akan berdepan Lens pada hari yang sama.

Sementara itu, Rennes kekal di tangga ke-11 dengan 29 mata.

Pada perlawanan berkenaan, Jurulatih PSG, Luis Enrique, membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding pasukan yang tewas 1-0 kepada Liverpool dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Meskipun mendominasi penguasaan bola, PSG gagal mencipta peluang yang berbahaya menyaksikan penjaga gol Rennes, Brice Samba, menafikan percubaan Goncalo Ramos.

Tidak lama selepas itu, Bradley Barcola meletakkan PSG di hadapan pada minit ke-27.

Gol dihasilkan daripada sepakan percuma.

Desire Doue menghantar bola kepada Barcola yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menyudahkan peluang dengan tenang melepasi Samba.

Jaringan tersebut memaksa Rennes bermain lebih agresif, dengan Ludovic Blas hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan tajamnya hanya tersasar sedikit di sebelah tiang.

Lima minit sebelum separuh masa tamat, Mohamed Meite menanduk bola yang menggegarkan palang gol PSG.

PSG kembali menguasai permainan selepas rehat dan menggandakan kedudukan lima minit selepas babak kedua bermula.

Barcola melakukan hantaran silang dari sebelah kiri, dan Ramos mudah menolak bola masuk dari jarak dekat.

Rennes merapatkan jurang hanya tiga minit kemudian menerusi tandukan Lilian Brassier hasil sepakan sudut untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Enrique kemudiannya memasukkan empat pemain bintang dari bangku simpanan Khvicha Kvaratskhelia, Ousmane Dembele, Vitinha, dan Nuno Mendes bagi memastikan kemenangan PSG.

Dembele kemudiannya menjaringkan gol pertama melalui hantaran Achraf Hakimi. Tidak lama kemudian, dia menambah gol keduanya dengan satu rembatan dari luar kotak penalti, yang juga merupakan gol liga ke-20 Dembele musim ini, sekali gus memastikan kemenangan bergaya buat PSG.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD