fb fb fb fb fb

Liga KPM-FAM: SMK Tunku Anum juara, tewaskan skuad AMD

Skuad SMK Tunku Anum meraikan kejuaraan /Foto KPM

SERDANG, 31 Oktober - Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman mencipta kejutan apabila menewaskan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 16 tahun (B-16) untuk menjuarai Piala Liga Remaja Kementerian Pendidikan (KPM)- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) B-17.

SMK Tunku Anum menang 5-4 menerusi penentuan penalti dalam aksi di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Perlawanan sengit itu berakhir 1-1 selepas 90 minit masa sebenar.

AMD B-16 mendahului pada minit ke-59 melalui Muhd Asmadi Muhd Raflee, namun SMK Tunku Anum menyamakan kedudukan di saat akhir menerusi Muhd Hariz Haziq Hairol Naim.

Penjaga gol, Muhd Airell Elfi Abdullah muncul wira dengan menyelamatkan sepakan penalti penentuan.

Jurulatih SMK Tunku Anum, Mohd Adzlan Abu menzahirkan rasa bangga selepas pasukannya menamatkan penantian 12 tahun untuk kembali ke pentas final.

“Kali terakhir kami ke final ialah pada 2013. Walaupun permulaan agak perlahan, pemain bangkit semula dan menamatkan perlawanan dengan penuh semangat untuk menjadi juara,” katanya.

Sementara itu, jurulatih AMD B-16, Ahmad Shahir Ismail, tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya meskipun tewas di penghujung permainan.

“Kami hilang fokus di saat akhir, namun mara ke final sudah cukup membanggakan memandangkan pasukan ini terdiri daripada pemain muda pelapis skuad utama,” jelasnya.

Dalam satu lagi aksi final melibatkan Piala Liga Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 (B-14), SMK Taman Desa Skudai tampil menewaskan skuad AMD 3-1 untuk menamatkan saingan selaku juara.

Dua gol daripada Muhd Farish Haqiemi Muhd Azharuddin dan satu jaringan Zainul Ariffin Mohd Zainuddin memastikan kemenangan mutlak skuad kendalian Rodolfo Pereida Villa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN