fb fb fb fb fb

Lee Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik ke final BAC

MANILA, 30 April- Dua wakil negara, Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tempat ke pentas final selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Filipina petang tadi.

Zii Jia yang juga pemain perseorangan lelaki di ranking ke-7 dunia tidak berdepan masalah menumbangkan Weng Hong Yang, dari China straight sets 21-11, 21-19 dalam tempoh 39 minit.

Selaku pilihan ketiga kejohanan, Zii Jia bermula garang mendahului 6-0 pada satu ketika, sebelum memenangi set pertama 21-11.


(Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia/Fail)

Meskipun diberi tentangan sengit oleh lawan bukan pilihan itu di set kedua, Zii Jia tenang menyerap segala tekanan untuk menang 21-19.

Zii Jia bakal menentang pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Jonathan Christie dalam pentas akhir esok.

Dalam lima pertemuan terakhir, kelebihan nyata memihak pada Jonathan dengan empat kemenangan manakala kejayaan tunggal Zii Jia adalah semasa Kejohanan All England pada 2020.


(Gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik/FBBadmintonAsia)

Sementara itu, wakil Malaysia dalam kategori beregu lelaki disandarkan menerusi gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Mereka melangkah ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan pasangan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani straight sets, 21-13 dan 21-15.

Beregu pilihan kelima kejohanan itu cuma memerlukan tempoh 29 minit bagi membuat perhitungan bertemu pasangan Indonesia di pentas akhir.

Media Baharu