fb fb fb fb fb

KPT ucap tahniah kepada atlet AUG, lepasi sasaran 35 pingat emas

Foto FB KPT

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen negara melibatkan atlet-atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) yang mempamerkan pencapaian cemerlang melepasi sasaran 35 pingat emas.

KPT menerusi satu kenyataan memaklumkan ia sekali gus menduduki tempat ketiga negara terbaik pada kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung pada 25 Jun hingga 6 Julai lalu.

Secara keseluruhan, kontinjen negara berjaya meraih 38 pingat emas, 45 pingat perak dan 60 pingat gangsa sepanjang 11 hari berlangsungnya pertarungan di Surabaya dan Malang, Indonesia.

Ia merupakan hasil usaha gigih kontinjen negara yang terdiri daripada 263 atlet dan 119 pegawai dengan 18 acara disertai kontinjen negara yang berentap bersama sebelas negara ASEAN lain.

Terdahulu, Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir telah mengumumkan pertambahan insentif kepada pemenang yang berjaya merangkul pingat kejuaraan iaitu RM3,000 kepada pemenang emas, RM2,000 pingat perak dan RM1,500 kepada atlet yang berjaya merangkul pingat gangsa.

KPT juga komited untuk menjayakan AUG siri ke-22 dengan Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah penganjuran pada 2026.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM