DAMSYIK, 9 Disember - Kejatuhan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, membawa perubahan besar bukan sahaja kepada landskap politik tetapi juga arena sukan negara itu.
Persekutuan Bola Sepak Syria (SFA) mengumumkan perubahan warna jersi pasukan kebangsaan dan logo dari merah kepada hijau, menandakan simbol harapan dan kebebasan.
Revolusi di Syria mencapai kemuncaknya apabila pasukan penentang kerajaan berjaya menawan ibu negara Damsyik tanpa tentangan pada Ahad, memaksa Assad melarikan diri ke Rusia selepas 13 tahun perang saudara dan enam dekad pemerintahan autokratik keluarganya.
Susulan peristiwa bersejarah itu, Persekutuan Bola Sepak Syria memuat naik pengumuman di Facebook, memperkenalkan kit hijau baharu untuk pasukan kebangsaan lelaki.
"Inilah jersi baharu pasukan kebangsaan kami," tulis persekutuan itu, disertai gambar beberapa pemain mengenakan kit hijau tersebut. "Perubahan bersejarah pertama dalam sukan Syria, jauh daripada nepotisme, pilih kasih, dan rasuah", tambah kenyataan tersebut.-REUTERS.