fb fb fb fb fb

Kedah tidak letak sasaran tinggi dalam saingan Divisyen 2 MPFL 2024

Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal KFA, Datuk Mohd Salleh Saidin

ALOR SETAR, 7 April- Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi menjelang saingan Divisyen 2, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 yang dijangka bermula bulan depan atau Jun ini.
 
Sebaliknya, Skuad Futsal Kedah yang mempertaruhkan 80 peratus muka baharu itu, lebih selesa digelar sebagai pasukan “underdog”.

Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal KFA, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, seramai 25 pemain telah dipilih untuk menyarung jersi skuad futsal Kedah.
 
Menurutnya, kehadiran beberapa pemain berpengalaman termasuk pernah beraksi bersama kelab futsal di Thailand, bakal menyuntik semangat baharu buat pasukan.
 
"Saya yakin dengan barisan pemain baru yang ada dalam team futsal Kedah pada kali ini, seramai 20 orang adalah pemain baru, lima orang daripadanya adalah pemain lama dan Insya-Allah pasukan Kedah pada kali ini akan menjadi pesaing utama kepada pasukan-pasukan lain untuk aksi MPFL kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sesi latihan skuad Futsal Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini, malam tadi.

Sesi Latihan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Aidiel Boon Abdullah diadakan pada sebelah malam bagi membolehkan pemain dan pegawai pasukan melaksanakan ibadah puasa dan solat sunat Tarawih.

ZEHRA BINTI ZAMBRI