fb fb fb fb fb

KBS mohon kerjasama KDN, pertingkat kawalan keselamatan atlet

Foto BERNAMA

KANGAR, 17 Mei- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memohon kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan keselamatan atlet terjamin.

Langkah itu diperkasa susulan kes keganasan terhadap atlet negara, kebelakangan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata selain pelaksanaan Kod Sukan Selamat, kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu ditingkatkan.

"Untuk pastikan keselamatan itu adalah tanggungjawab polis. Itu sebab kita minta kerjasama KDN untuk pastikan atlet-atlet kita dijaga dengan baik."

"Kita tidak mahu ada unsur atau sebarang motif jahat yang kita tidak jangka berlaku kepada atlet. Ini antara langkah yang perlu dititikberatkan oleh persatuan sukan terhadap atlet mereka," kata Hannah kepada pemberita.

Beliau juga berharap atlet yang akan ke Olimpik Paris 2024 menjaga keselamatan mereka berikutan telah banyak usaha yang telah di buat KBS bagi memastikan mereka layak ke temasya sukan berkenaan.

Sementara itu, Hannah Yeoh memaklumkan sebanyak RM7.6 juta dilaburkan untuk menaik taraf Stadium Tuanku Syed Putra.

Jika siap kelak, stadium berkenaan bakal dilengkapi dengan 'teknologi balapan' seperti fasiliti sukan yang ada di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Stadium di Kangar itu akan dinaik taraf dengan prasarana lengkap untuk kegunaan sukan bola sepak dan olahraga.

"Buat masa ini, hanya dua. Satu di sini dan satu lagi di Bukit Jalil KL Sports City. Maka, ini adalah fasiliti khas negeri Perlis dan ia membuktikan bahawa kita tidak melihat saiz negeri itu dan kita juga tidak menganaktirikan kerajaan negeri pembangkang."

Sebagai kerajaan Persekutuan, kita jaga kerana dalam soal pembangunan sukan dan belia. Mereka ini adalah aset negara," tambah Hannah.

Penambahbaikan juga merangkumi kerja baik pulih bumbung, bilik serbaguna, tempat duduk astaka, sistem bunyi dan pembaikan trek balapan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM