SEPANG, 13 Disember – Johor Motor Racing Team (JMR) berdepan perlumbaan mencabar pada Perlumbaan 1 Kejohanan Asian Le Mans Series 4 Hours of Sepang, hari ini, apabila kedua-dua jentera pasukan itu diuji dengan insiden berasingan walaupun mempamerkan kelajuan kompetitif sepanjang perlumbaan.
Pengurus pasukan, Andrew Simpson, memaklumkan jentera #66 mengalami tayar pancit yang memaksa hentian pit lebih awal, sekali gus menjejaskan strategi pasukan.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila hentian tersebut dilakukan ketika laluan pit ditutup, menyebabkan ia diklasifikasikan sebagai emergency stop, sekali gus memaksa jentera berkenaan melalui pit lane buat kali kedua situasi yang dianggap sebagai penalti berganda akibat insiden di luar jangkaan.
Jentera #66 dibarisi Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, bersama pelumba Corvette Factory Racing dari England, Alexander Sims, serta pakar perlumbaan ketahanan Australia-Palestin, Yasser Shahim.
Sementara itu, jentera #99 yang dibarisi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Jefri Ibrahim), bersama pelumba Australia Jordan Love dan pelumba Britain Ben Green, berada dalam kedudukan keempat (P4) ketika perlumbaan menuju ke penamat namun mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-9 (P9).
Menurut Simpson, situasi tersebut melibatkan keputusan strategi yang perlu dilaksanakan oleh semua pasukan, dan kedudukan akhir dianggap selari dengan prestasi keseluruhan perlumbaan hari ini.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Simpson menegaskan kedua-dua jentera JMR menunjukkan kelajuan yang baik, namun beberapa insiden menghalang pasukan daripada mencapai keputusan lebih baik.
“Apabila anda bermula di hadapan, sudah tentu sasaran adalah untuk menamatkan perlumbaan di posisi yang sama. Namun inilah lumrah sukan permotoran, insiden boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.
Faktor cuaca tidak menentu di Litar Antarabangsa Sepang turut memainkan peranan penting dalam keputusan strategi pasukan, khususnya berkaitan pemilihan tayar.
Simpson menjelaskan keputusan untuk mengekalkan tayar basah dibuat bagi memastikan keselamatan pemandu, terutama apabila beberapa jentera lain yang beralih kepada tayar licin terperangkap di kawasan pasir dan rumput.
Mengulas mengenai perlumbaan seterusnya, Simpson optimis kedua-dua jentera berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk bangkit pada Perlumbaan 2.
“Kami mempunyai kelajuan yang diperlukan. Apa yang penting adalah mengurangkan kesilapan. Kami sudah berbincang dan tahu dengan jelas apa yang perlu diperbaiki. Esok akan menjadi hari yang lebih baik,” katanya.
Asian Le Mans Series 4 Hours Sepang dijangka terus menyajikan cabaran berbeza dengan keadaan cuaca yang sukar dijangka, namun JMR yakin strategi fleksibel akan membantu pasukan berada dalam kedudukan lebih baik pada penamat perlumbaan.