fb fb fb fb fb

Jelajah Dunia BWF: Se-young mara ke separuh akhir

Pemain perseorangan badminton wanita Korea Selatan, An Se-young/REUTERS

HANGZHOU, 19 Disember - Pemain perseorangan badminton wanita Korea Selatan, An Se-young menamatkan saingan Kumpulan A sebagai juara pada kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menewaskan juara dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun, 14-21, 21-5, 21-14.

Pada perlawanan berkenaan, Yamaguchi terlebih dahulu mengejutkan Se-young apabila memenangi set pertama 21-14.

Pada set kedua, Se-young yang juga juara Olimpik Paris 2024 memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Yamaguchi untuk memenangi set kedua dengan mata 21-5.

Set penentuan pula menyaksikan Yamaguchi kembali memberi tentangan, namun kekentalan pertahanan yang ditunjukkan Se-young membolehkan wakil korea selatan itu menamatkan perlawanan dengan 21-14.

Sementara itu persaingan dalam kumpulan B menyaksikan , pemain perseorangan wanita Thailand Ratchanok Intanon mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil China, Han Yue 21-17-21-10.

Kemenangan itu membolehkan Intanon menjadi naib juara kumpulan dan mara ke separuh akhir bersama-sama wakil China, Wang Zhiyi yang memenangi kedua-dua perlawanan kumpulan.

Dalam saingan lelaki Kumpulan B, pemain China Li Shifeng terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan ketika menentang wakil Taiwan, Chou Tien-chen.

Kedua-dua pemain telah pun tersingkir lebih awal selepas tewas dalam kedua-dua perlawanan sebelum ini .

Juara dunia Shi Yuqi dijadual bertemu pemain Jepun Kodai Naraoka bagi menentukan juara Kumpulan B hari ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Paris, Kunlavut Vitidsarn, bakal berdepan pemain Denmark Anders Antonsen untuk merebut slot terakhir Kumpulan A.

Terdahulu pemain Perancis Christo Popov, telah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir hasil kemenangan ketika bertemu Antonsen dan Kunlavut.

Popov akan bertemu pemain Indonesia Jonatan Christie, yang sudah tersingkir dari kejohanan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD