JOHOR BAHRU, 30 April- Johor Darul Ta’zim, (JDT) mencipta sejarah apabila berjaya melangkah penuh bergaya ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia.
Anak buah Benjamin Mora mencipta sensasi itu selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri petang tadi.
Kejayaan itu menyaksikan JDT menjadi kelab pertama negara, layak ke pusingan seterusnya di Liga Juara-Juara Asia.
Gol pertama sukad Harimau Selatan hadir seawal minit ke-5 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan pemain tengah, Leandro Velazquez selepas Bergson Da Silva dijatuhkan pemain lawan.
Namun kelebihan itu hanya bertahan seminit apabila Ulsan Hyundai FC berjaya mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Jun Amano.
JDT kembali mendahului permainan minit ke-25 namun jaringan Bergson Da Silva dibatalkan.
(Pemain sayap JDT, Arif Aiman mengelecek melepasi dua pemain Ulsan Hyundai dalam perlawanan petang tadi/FBJDT)
Memasuki 45 minit terakhir perlawanan, JDT meneruskan asakan dan percubaan berbahaya Leandro Velazquez sedikit tersasar.
Matthew Davies juga hampir menambah jaringan kedua JDT minit ke-72 namun rembatannya tersasar.
Akhirnya, kesilapan pemain tengah pelawat, Park Yongwoo menghadiahkan kemenangan kepada JDT selepas tersepak bola ke gawang sendiri minit ke-90.
Perlawanan tersebut dihadiri lebih 17,000 penonton tuan rumah.