fb fb fb fb fb

Harimau Malaya pamer semangat juang tinggi, kerajaan beri FAM RM5 juta

Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui media di Restoran Nasi Kandar Pelita, di Desa Sri Hartamas hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari- Menghargai semangat juang tinggi pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala Asia 2023 dan berjaya mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan semalam, kerajaan hari ini bersetuju menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, Harimau Malaya telah menunjukkan keupayaan dan kesungguhan yang tinggi walaupun kalah dalam dua perlawanan awal.

“Semangat mereka tidak lusuh walaupun setelah kalah dalam dua pertarungan, tapi nampak mereka menunjukkan perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat bertarung dengan pasukan kuat iaitu Korea Selatan.

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka, mara terus dan kerana (Harimau Malaya) menunjukkan semangat sedemikian dan atas pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan telah bersetuju luluskan RM5 juta kepada FAM supaya dapat mengurus pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Jelas Datuk Seri Anwar, dana berkenaan akan disalurkan dengan kadar segera untuk kegunaan badan induk yang memayungi bola sepak negara itu.

Dalam aksi terakhir kumpulan E Piala Asia, di Stadium Al Janoub Doha, Qatar semalam skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon terikat 3-3 dengan Korea Selatan.

Ia merupakan pertembungan kedua Malaysia dengan Pahlawan Taeguk di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait apabila bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989.

Walaupun seri dengan Korea Selatan, hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E, masing-masing tumpas 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE