fb fb fb fb fb

Golf Maybank: Mirabel muncul pemain terbaik negara pada penampilan sulung

Kejohanan Golf Maybank 2024 / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Pemain amatur negara Mirabel Ting memulakan cabaran Kejohanan Golf Maybank 2024 dengan melakarkan lima bawah par 67 dan berkongsi kedudukan ke-11 pada pusingan pertama di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara.

Walaupun menjadi pemain amatur tunggal dalam kejohanan bernilai AS$3 juta (kira-kira RM13.05 juta), pemain berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan dengan debut mengagumkan dan muncul sebagai pemain terbaik Malaysia.

Mirabel mencatat empat birdie di sembilan lubang pertama (lubang 1, 3, 4, 5) di samping satu bogey di lubang par lima ke-10 serta lubang ke-14 dan 18.

Sekali gus membolehkan juara Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak itu menempatkan dirinya di tangga ke-11 bersama 10 pemain lain dalam acara Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA).

Mirabel menduduki sebaris dengan juara bertahan Celine Boutier dari Perancis, naib juara Jeeno Thitikul dari Thailand, dan pemain nombor empat dunia dari China, Yin Ruoning.

“Membenam lima bawah par di padang golf yang mencabar ini adalah sesuatu yang saya tak pernah jangka, lebih-lebih lagi di hadapan penonton yang ramai. Saya tidak begitu selesa di sembilan lubang terakhir, sebab itu saya melakukan dua kali latihan dari situ.

“Saya selesa memulakan di lubang pertama dan terus mengingatkan diri untuk bersabar. Selepas lubang ke-10, putt saya kurang menjadi dan saya mula hilang sabar sedikit. Minggu ini saya datang untuk belajar dan merasai pengalaman bermain di Jelajah LPGA,” kata Mirabel selepas tamat pusingan pembukaan itu.

Pemain Malaysia lain gagal mengikuti langkah cemerlang Mirabel termasuk Ashley Lau yang berkongsi kedudukan ke-66 pada penampilan keduanya bersama pemain Ireland Leona Maguire serta Jin Hee Im dan Jenny Shin dari Korea Selatan dengan catatan satu atas par 73.

Ashley, 24 tahun, yang kini bermain di Jelajah Epson (jelajah pembangunan rasmi LPGA), melakarkan empat bogey dan tiga birdie.

Nur Durriyah Damian dan Liyana Durisic pula melengkapkan senarai 77 pemain di kedudukan tercorot, apabila masing-masing mencatat enam atas par 78 dan tujuh atas par 79.

Manakala pemain nombor 31 dunia dari Amerika Syarikat Alison Lee menarik diri.-BERNAMA

Trainee2