KUALA LUMPUR, 27 Januari- Gara-gara kritikan 'bijak' pertukaran pemain dibuat ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon pada aksi bertemu Korea Selatan Khamis lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memanggil pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata sebagai pemain bola sepak, Intan Sarah atau lebih dikenali Intan Serah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkenaan yang dimuat naik menerusi laman X, baru-baru ini.
“Kita akan menilai kenyataan yang beliau (Intan Serah) maksudkan,” katanya.
Noor Azman juga berkata pihaknya akan meneliti dahulu kenyataan itu sebelum memutuskan tindakan terhadap Intan Serah.
Terdahulu, pemain bola sepak wanita berusia 25 tahun itu mendapat kritikan hebat peminat sukan tanah air dan pengguna media sosial selepas mempersoal kewajaran Pan Gon menukar penyerang Darren Lok dengan pemain naturalisasi Paulo Josue pada babak kedua perlawanan.
Sebaliknya, Pan Gon membuktikan percaturannya membuahkan hasil apabila Josue menjadi watak penting dengan membuat hantaran kepada Romel Morales sebelum penyerang Kuala Lumpur City FC itu menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir masa kecederaan.
Pada perlawanan tersebut, Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan 3-3.
Sementara itu, Intan Sarah tampil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi, untuk bertemu Pan Gon yang baru tiba dari Qatar.
Dalam satu hantaran di X, Sarah mengakui akan kesilapannya dan memohon maaf kepada ketua jurulatih kebangsaan itu.