fb fb fb fb fb

Conor McGregor tarik diri daripada pemilihan Presiden Ireland

Bintang seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor

LONDON, 15 September - Bintang seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor mengumumkan penarikan diri daripada pemilihan Presiden Ireland yang dijadual berlangsung Oktober ini.

McGregor sepatutnya menghadiri mesyuarat Majlis Bandaraya Dublin dan Majlis Daerah Kildare hari ini bagi mendapatkan sokongan untuk membolehkannya layak ke kertas undi. Mengikut peraturan, calon perlu dicalonkan oleh sekurang-kurangnya 20 ahli Parlimen Ireland atau empat pihak berkuasa tempatan, selain berusia 35 tahun ke atas.

Dalam kenyataan di media sosial, atlet berusia 36 tahun itu berkata keputusan berundur dibuat selepas perbincangan dengan keluarganya. Katanya, keputusan itu sukar namun paling tepat ketika ini.

McGregor menegaskan hasratnya bertanding adalah ikhlas dan beliau berasa rendah diri dengan sokongan yang diterima. Namun, beliau menyifatkan perlembagaan negara itu sebagai “usang” kerana menyekat pertandingan presiden yang benar-benar demokratik, sekali gus hanya memberi ruang kepada calon yang diluluskan golongan tertentu sahaja.

Menurutnya, tindakannya menyatakan minat telah membuka perdebatan baharu tentang demokrasi di Ireland serta mencetuskan gerakan rakyat yang mahu mempertahankan cara hidup bangsa itu.

McGregor juga berdepan isu perundangan apabila awal tahun ini dia gagal dalam rayuan berhubung kes saman sivil oleh seorang wanita Dublin, Nikita Hand, yang menuduhnya merogol dan mencederakannya pada 2018. Mangsa dianugerahkan pampasan hampir €250,000 selain McGregor diperintah membayar kos guaman kira-kira €1.3 juta.

Namun, McGregor menegaskan perjalanan politiknya belum berakhir dan berjanji akan terus menggunakan pengaruh antarabangsa untuk mempromosikan kepentingan Ireland serta memperjuangkan ketelusan dalam pentadbiran awam.

Pilihan raya Presiden Ireland dijadual berlangsung pada 24 Oktober dengan Menteri kerajaan terdahulu Heather Humphreys mewakili Fine Gael, bekas jurulatih bola sepak Gaelic Dublin Jim Gavin mewakili Fianna Fail, manakala calon bebas Catherine Connolly turut bertanding. Parti Sinn Fein masih belum memutuskan sama ada akan mengemukakan calon.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE