fb fb fb fb fb

Bintulu berpotensi jadi hab sukan dart antarabangsa

Iskandar Turkee (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang / FOTO RTM

Bintulu, 9 September- Kejohanan Dart Terbuka Bintulu 2024 mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan lebih 100 pemain dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Kuala Lumpur, dan Brunei.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang berlangsung malam semalam disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.

Dalam ucapannya, Iskandar menyuarakan keyakinannya terhadap potensi besar Bintulu sebagai hab sukan dart bertaraf antarabangsa.

Katanya, kejayaan Bintulu menjadi venue sukan muaythai dan sepak takraw dalam SUKMA baru-baru ini menambahkan keyakinan bahawa bandar itu mampu menganjurkan lebih banyak acara sukan bertaraf dunia.

"Pertandingan ini membuktikan bahawa Bintulu bukan sahaja menjadi tumpuan pemain dari seluruh negara, malah mampu menarik minat pemain antarabangsa seperti dari Brunei. Ini satu pencapaian luar biasa yang kita perlu banggakan,"katanya.

Beliau turut berharap kelab-kelab dart di Bintulu serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dapat bergabung tenaga dalam menganjurkan lebih banyak pertandingan besar pada masa akan datang, dan menjadikan Bintulu destinasi pilihan untuk sukan dart.

Iskandar juga melihat potensi ini sebagai peluang untuk mempromosikan Bintulu sebagai pusat sukan dan pelancongan di Malaysia.

Pertandingan kali ini menyaksikan D'Amazing KBT KGA KOIFISH muncul sebagai johan bagi kategori Gold Plate , manakala DAD & SONS KM dari Brunei berjaya merangkul johan kategori Silver Plate.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE