fb fb fb fb fb

BATC, keputusan BAM letak pemain senior adalah tepat - Roslin

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Roslin Hashim

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan barisan pemain senior dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) adalah satu tindakan tepat.

Biarpun wujud segelintir pihak yang mahu, kejohanan berkenaan dibarisi oleh pemain-pemain muda.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Roslin Hashim, keputusan itu penting dalam usaha Malaysia untuk merangkul kejuaraan selaku tuan rumah kejohanan.

"Jadi, saya rasa sebagai tuan rumah kita seharusnya meletakkan pasukan yang kuat dan terbaik. Selain itu, untuk kita mengekalkan kejuaraan yang sudah kita capai sebelum ini."

"Bagi saya, pemain-pemain muda ini lebih baik mereka diberi pendedahan di kejohanan yang lain. Ini kerana, kita perlu capai sasaran kita iaitu kekalkan rekod kejuaraan bukan sekadar pusingan separuh akhir. Kita juara bertahan dan kita tuan rumah. Kita perlu hantar pasukan terbaik yang kita ada," kata Roslin dalam satu temu bual secara maya.

BATC akan membuka tirai pada 13 sehingga 18 Februari ini di Shah Alam, Selangor.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Brunei, Kazakhstan dan Taiwan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM