KUALA LUMPUR, 21 November - Bermula tahun hadapan, atlet negara di bawah program podium akan dilindungi menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata langkah itu dilaksana dalam usaha melindungi kebajikan atlet negara.
Katanya, lembaga pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini telah meluluskan kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan memberi penekanan kepada kebajikan dan kesejahteraan atlet di bawah program MSN.
"Ini merupakan langkah kehadapan untuk atlet kita sebab tidak pernah dilaksana untuk menjaga kebajikan atlet," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Tambah Hannah, pihaknya sentiasa melakukan penambahbaikan skim elaun bagi atlet kebangsaan yang dilaksana kementerian itu sejak 2006 dari semasa ke semasa untuk melindungi kebajikan mereka.