fb fb fb fb fb

Arul Selvaraj puas hati dengan taktikal skuad Speedy Tigers

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Ketua Jurulatih skuad hoki kebangsaan, A Arul Selvaraj menganggap kekalahan kepada Sepanyol pada aksi persahabatan di India sebelum memulakan kempen Kejohanan Piala Dunia 2023 Bhubaneswar-Rourkela, India sebagai medan menguji pendekatan taktikal skuadnya.

Menurutnya, biarpun tewas 2-3 pada aksi pemanas badan kepada pasukan di ranking kelapan dunia itu, beliau tetap berpuas hati selain optimis skuadnya tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukan Belanda pada aksi pembukaan untuk Malaysia pada kejohanan itu, Sabtu ini.

"Satu keputusan yang bagus daripada segi pendekatan taktikal. Walaupun bukan bermain minit penuh kita tetap pamerkan persembahan cukup baik dan menggangap ianya seperti perlawanan sebenar menentang Belanda nanti.

Harapan saya agar ia akan diterjemahkan kepada satu kejayaan pula berdasarkan persembahan itu. Ia sekali gus akan menjadi pemangkin kepada kejayaan di perlawanan kedua dan ketiga," katanya menerusi pautan video dikongsi kepada media.


(FOTO BERNAMA)

Terdahulu, pada perlawanan tersebut Malaysia memperoleh dua gol hasil jaringan Norsyafiq Sumantri dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain.

Selepas menentang juara tiga kali Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan C pada kejohanan itu, Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia dijadual berdepan Chile yang berada di ranking ke-22 dunia pada 16 Januari, sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan New Zealand (kesembilan dunia) pada 19 Januari.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.- BERNAMA



Media Baharu