fb fb fb fb fb

Aniq teruja tersenarai dalam program RTG

Atlet Angkat Berat Negara, Aniq Kasdan/FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 2 November- Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan akui amat teruja selepas namanya berada dalam senarai terbaharu program Road To Gold, (RTG).
Pengumuman itu akan menyuntik motivasi untuknya memburu tiket secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Menurut Aniq, masih berbaki tiga kejohanan kelayakan Olimpik yang akan disertainya iaitu Kejohanan IWF Grandprix II di Qatar pada Disember, Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan pada Februari dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand pada April.

"Banyak kemudahan yang saya boleh perolehi dengan cepat dalam program RTG.

"Datuk Ayub menyasarkan saya untuk membuat angkatan antara 200 kilogram sehingga 300 kilogram", katanya ketika ditemui wartawan RTM di sini.

Aniq sebelum ini berjaya memenangi pingat gangsa acara clean & jerk dengan angkatan 166 kilogram dalam kategori 61 kilogram pada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi, September lalu.

Lebih membanggakan apabila beliau berjaya mengumpul angkatan keseluruhan 291 kilogram sekali gus memecahkan rekod kebangsaan kategori 61 kilogram.

Sementara itu, mengenai situasi jaguh badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, jawatankuasa RTG akan membincangkan tindakan susulan pada mesyuarat seterusnya, jika dia tidak menandatangani perjanjian persetujuan komitmen (LOC) untuk menyertai program berkenaan sebelum 14 November ini.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, selaku ahli jawatankuasa RTG berkata, sebarang keputusan mengenai isu tersebut hanya akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, Zii Jia yang berada di ranking ke-11 dunia, merupakan satu-satunya atlet yang belum menandatangani perjanjian itu.

Dia diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD