KUALA LUMPUR, 3 April-Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan muncul atlet keenam mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand.
Pada Kejohanan Piala Dunia IWF , Aniq yang beraksi dalam kategori 61 kilogram melakukan angkatan keseluruhan 290 kilogram namun tidak berjaya mengulangi pencapaian terbaik sewaktu di Qatar Disember lepas dengan angkatan 296 kilogram.
Biarpun menamatkan saingan di tempat kelapan, kedudukan berkenaan tidak terjejas apabila atlet berusia 21 tahun itu tetap layak ke Paris bersama sembilan atlet lain ke temasya berprestij dunia itu.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhamad Aznil Bidin menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan angkatan keseluruhan 284 kilogram.
Untuk rekod, Mohd Hafifi Mansor muncul wakil angkat berat terakhir negara layak ke Sukan Olimpik pada edisi Rio 2016 dalam acara 69 kilogram.