KUALA LUMPUR, 19 Disember - Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku badan penyiar utama negara turut bersama-sama meraikan sambutan penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dengan menyalakan lampu bertema Jalur Gemilang di Menara Angkasapuri bermula pukul 8.00 malam, esok.
Kementerian Belia dan Sukan menerusi satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu seiring dengan pencahayaan bangunan-bangunan ikonik di empat negeri penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor sempena upacara penyerahan bendera SEAGF pada upacara penutup Sukan SEA Thailand 2025.
Upacara simbolik berkenaan akan menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr Norza Zakaria menerima bendera SEAGF sebagai tanda rasmi Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu bagi edisi ke-34, dua tahun lagi.
"Selain Menara Angkasapuri, sembilan lagi bangunan ikonik yang turut akan disinari pancaran warna Jalur Gemilang bermula pukul 7.00 malam, antaranya Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara DBKL, KOMTAR, Pusat Konvensyen PWCC Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching serta kawasan sekitar Iskandar Puteri, Johor," menurut kenyataan tersebut.
Stadium Nasional Bukit Jalil turut akan diterangi dengan cahaya merah, kuning, biru dan putih sebagai simbolik kepada komitmen negara dalam penganjuran temasya sukan berprestij itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC), Abdul Rashid Yaakub berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh keempat-empat negeri penganjur itu mencerminkan keterujaan dan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh.
“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini merupakan simbolik sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027. Kita mahu seluruh rakyat Malaysia, khususnya peminat sukan, turut merasai keterujaan dan kebanggaan ini,” katanya.
Selain pencahayaan bangunan, skrin LED di lokasi strategik di keempat-empat bandar raya terbabit turut akan memaparkan grafik khas sempena penggiliran Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA akan datang.
Upacara penutup Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung pada pukul 7.00 malam di Stadium Rajamangala, Bangkok. Malaysia turut terlibat dalam segmen persembahan penutup menerusi penampilan tiga artis tempatan iaitu Mimi Fly, Amir Jahari dan Marsha Milan, bersama 60 penari pelbagai etnik.