fb fb fb fb fb

ADUN Sungai Tawar individu terbaharu tawar bantu Selangor FC

ADUN Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail/Foto Fail: BERNAMA

SHAH ALAM, 26 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail akan menyumbang separuh daripada gajinya bulan hadapan bagi membantu meringankan beban Selangor FC membayar denda yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri berkata langkah itu diambil sebagai tanda solidariti ke atas pasukan kesayangan rakyat negeri Selangor itu.

Rizam juga berharap supaya penyokong terus memberi sokongan teguh kepada Selangor FC agar semua pemain bersemangat berdepan cabaran tersebut.

“Semoga Gergasi Merah akan kekal unggul dalam bola sepak Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rizam menjadi pemimpin masyarakat terbaharu yang tampil menyatakan hasrat membantu Selangor FC selepas penyanyi rap dan komposer Altimet yang juga ADUN Lembah Jaya serta ADUN Kota Damansara Izuan Kasim menyatakan kesediaan membantu pasukan Merah Kuning itu.

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menawarkan untuk menyumbang separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini manakala Izuan sedia menyumbang separuh daripada gajinya bulan hadapan bagi tujuan tersebut.

Semalam, MFL memaklumkan Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor FC dilaporkan menarik diri daripada menyertai perlawanan Sumbangsih susulan insiden bintangnya Mohamad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lepas.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI