
KUALA LUMPUR 21 Januari – Ketua Jurulatih skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 17 tahun, Noor Zaidi Rohmat meletakkan harapan tinggi untuk melihat aksi berbeza ditampilkan para pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kendaliannya.
- Zaidi menghargai peluang dipilih FAM, MSN dan Pengarah Teknikal NFDP untuk memimpin skuad AMD B-17.
- Fokus utama melahirkan pemain berkualiti yang menjadi sandaran pasukan kebangsaan masa depan.
- Harapan agar pemain tunjukkan intensiti dan kelajuan konsisten dalam setiap perlawanan, bukan sekadar standard Malaysia.
- 43 pelatih generasi 2009 ditempatkan di AMD Gambang untuk sesi 2026 di bawah pasukan kejurulatihan baru.
Jurulatih berusia 44 tahun itu menghargai peluang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee untuk bersama skuad AMD B-17.
Fokus utama beliau adalah untuk memastikan AMD dapat melahirkan barisan pemain berkualiti yang berpotensi menjadi sandaran utama pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
“Bagi saya, selepas empat tahun pemain B-17 ini berlatih di AMD dan mendapat pendedahan, saya tak mahu mereka keluar nanti tanpa sebarang nilai tambah untuk diri mereka.
“Sekurang-kurangnya, mereka keluar sebagai seorang pemain yang benar-benar berkualiti dan layak mewakili pasukan negara pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook rasmi FAM.
Bagi tahun 2026, skuad AMD B-17 akan beraksi di Piala Presiden (B-20) dengan Noor Zaidi berharap agar pengalaman dimiliki barisan pemain dapat diterjemahkan secara konsisten di atas padang.
“Setiap perlawanan, para pemain perlu menunjukkan tahap intensiti dan kelajuan yang berbeza.
“Saya tidak mahu mereka mempersembahkan tahap dalam Malaysia sahaja kerana mereka berpengalaman beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-17 pada tahun lalu.
“Saya harap mereka dapat menterjemahkannya dalam setiap perlawanan,” tambahnya.
Seramai 43 orang pelatih NFDP berusia 17 tahun ditempatkan di AMD Gambang, Pahang bagi sesi 2026 bermula 11 Januari lalu dengan pelatih AMD generasi 2009 ini diletakkan bawah kendalian Noor Zaidi Rohmat, dibantu penolong ketua jurulatih, Armi Sharif dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Sebagai rekod, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kini diambil alih secara teknikal oleh FAM.
Seramai 198 orang pelatih dari peringkat umur 13 hingga 17 tahun telah memulakan sesi 2026 dengan latihan pertama di AMD Gambang pada 12 Januari lalu.