
LANGKAWI, 21 Januari – Pasukan perahu layar negara, The Next Factor mengungguli saingan hari pertama Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2026 semalam selepas muncul juara kelas Racing.
- The Next Factor mendominasi hari pertama RLIR 2026 dengan kemenangan kelas Racing, mengumpul empat mata.
- Blitz (Hong Kong) dan Alive (Australia) masing-masing menempatkan diri di tempat kedua dan ketiga.
- Keadaan angin 8–10 knot dan laluan panjang uji ketahanan serta taktikal pelayar.
- RLIR ke-22 menyaksikan 250 pelayar dari 12 negara berlumba dalam tujuh kelas sehingga Sabtu.
Pasukan kendalian Rolf Heemskerk itu mendominasi dua perlumbaan yang berlangsung di perairan Kelab Perahu Layar Diraja Langkawi (RLYC), Kuah sekali gus mengumpul empat mata keseluruhan.
Kapal layar Blitz dari Hong Kong kendalian Nick Burns turut mengumpul empat mata untuk berada di tempat kedua, manakala Alive dari Australia yang dipimpin Duncan Hine terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan enam mata.
Tiupan angin pagi berkelajuan 8 hingga 10 knot mewujudkan persaingan sengit dalam kalangan peserta, dengan laluan perlumbaan yang panjang serta mencabar menguji ketahanan dan taktikal setiap pasukan.
Dalam pada itu, menerusi saingan kelas IRC 1, kapal layar Char Chan dari Jepun menguasai kedudukan teratas selepas mengumpul dua mata manakala bagi IRC2, wakil negara The Blue Angel unggul dengan tiga mata.
RLIR edisi ke-22 disertai 250 pelayar dari 12 buah negara berentap di perairan Langkawi sehingga Sabtu bagi merebut gelaran juara.
Antara negara terlibat ialah Thailand, Indonesia, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, China, Taipei Cina, India, Australia, United Kingdom selain tuan rumah Malaysia.
Tujuh kelas perlumbaan dipertandingkan iaitu Racing, IRC1, IRC2, Club Class, Sports Boats serta Multihull Racing Class.