Semenyo buat impak segera di City

Pembelian penyerang baharu Manchester City, Antoine Semenyo mula memberi impak positif kepada pasukan/AFP

NEWCASTLE, 14 Januari – Penyerang baharu ‘The Citizen’, Antoine Semenyo percaya beliau berada di tempat yang tepat untuk berkembang selepas menjaringkan gol dalam dua penampilan pertamanya bersama Manchester City.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semenyo menjaringkan gol dalam dua penampilan pertamanya bersama Manchester City.
  • Bergabung dari Bournemouth dengan bayaran tinggi dan memberi impak segera kepada pasukan.
  • Gol kedua dibatalkan selepas semakan VAR, mencetuskan kontroversi di St. James' Park.
  • Berasa diterima, cepat menyesuaikan diri dan membawa keyakinan baru kepada pasukan.

Penyerang Ghana itu membuat impak segera sejak menyertai City dari Bournemouth dengan nilai £65 juta (AS$87 juta) minggu lalu, dan sekali lagi menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol pada kemenangan 2-0 City ke atas Newcastle dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga pada Selasa.

Semenyo sebelum itu turut meledak gol dalam kemenangan 10-1 ke atas Exeter dalam saingan Piala FA pada Sabtu.

Di St. James’ Park, dia juga hampir meraih gol kedua, namun jaringannya dibatalkan selepas semakan VAR yang panjang dan mencetuskan kontroversi.

Semenyo, yang kini mengumpul 12 gol dalam semua pertandingan musim ini, berkata dia berjaya menyesuaikan diri dengan cepat di kelab baharunya itu.

“Seluruh persekitaran di sini sempurna. Semua orang yakin dan mahu mencapai yang terbaik.

“Saya masuk ke dalam suasana itu dan mereka membantu meningkatkan keyakinan saya serta membuatkan saya berasa diterima,” katanya.

“Ia minggu yang sibuk tetapi saya menikmatinya. Saya belajar banyak perkara dengan cepat dan bermain dengan senyuman. Saya membawa keyakinan dari Bournemouth ke sini dan menikmati setiap detik”, ujar Semenyo. – AFP