PERKESO sedia salur bantuan kepada mangsa letupan di Universiti HELP

Keadaan selepas insiden letupan di Universiti HELP

PUTRAJAYA, 15 Januari – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedia menyalurkan bantuan kepada mangsa insiden letupan gas penyaman udara di Universiti HELP, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERKESO bersedia menyalurkan bantuan kepada mangsa letupan gas penyaman udara di Universiti HELP.
  • Bantuan awal diselaraskan Kementerian Pendidikan Tinggi kerana kebanyakan mangsa adalah pelajar.
  • KESUMA dan PERKESO akan memberi sokongan tambahan untuk memastikan kebajikan mangsa terpelihara.
  • Terdapat mangsa cedera parah yang masih dirawat dan usaha bantuan pelbagai kementerian sedang dijalankan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bantuan awal ketika ini diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memandangkan kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO akan memberikan sokongan tambahan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.

“Bantuan-bantuan yang perlu sedang disampaikan dan saya dimaklumkan pelbagai kementerian sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu mangsa yang terlibat.

Saya difahamkan ada mangsa yang cedera parah dan masih dirawat. Kita doakan agar mereka diberi kesembuhan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026 di sini, hari ini.

Insiden letupan gas penyaman udara yang berlaku pada 12 Januari lalu mengorbankan seorang pelajar praktikal tahun tiga Kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Letupan berkenaan turut mengakibatkan sembilan individu cedera, termasuk empat pelajar, dengan beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius.