
MELAKA, 10 Januari – Langkah kerajaan menurunkan kadar cukai perkhidmatan (SST) ke atas sewaan premis kepada enam peratus disambut positif dalam kalangan peniaga.
- Pengurangan SST sewaan premis kepada enam peratus disambut positif oleh peniaga.
- Langkah dijangka mengurangkan tekanan kos operasi dan beban sewa.
- Peniaga berharap kadar sewa boleh diturunkan dan operasi perniagaan menjadi lebih lancar.
- Wakil usahawan gesa kerajaan teliti semula langkah untuk tingkatkan ekonomi peniaga kecil.
Mereka berharap pengurangan itu dapat mengurangkan tekanan kos operasi yang semakin meningkat.
Pengurangan kadar cukai perkhidmatan dijangka memberi sedikit ruang kepada para peniaga, khususnya yang berdepan kos sewaan dan operasi yang terus meningkat saban tahun.
Seorang peniaga, Angel Tan, berkata pengurangan cukai diyakini mampu menurunkan kadar sewa premis selain membantu kelancaran operasi perniagaan.
“Apabila kadar cukai diturunkan, kadar sewa premis juga boleh diturunkan. Ini akan membantu melancarkan operasi perniagaan lain dan memudahkan kami menampung keperluan perbelanjaan,” katanya.
Bagi peniaga Koh Mei Fang, menyifatkan langkah tersebut dapat meringankan beban kos yang ketika ini membebankan peniaga kecil.
Sementara itu, Ketua Pengerusi Biro Usahawan IKS dan Peniaga Penjaja Kecil Melayu BARA Malaysia, Ashak Salikin, berharap kerajaan meneliti semula langkah tersebut bagi meningkatkan ekonomi peniaga kecil.
“Oleh kerana keadaan ekonomi yang sekarang yang belum lagi meningkat kemajuan untuk para penjaja, saya berpendapat supaya pihak kerajaan menghalusi semula supaya diberikan peluang kepada penjaja-penjaja untuk menaikkan taraf ekonominya.
“Di samping menanggung kos yang begitu meningkat. Kebanyakan premis yang kenaikan tentang sewa setiap tahun ada kontrak untuk penyewaannya”, katanya.
Pengurangan kadar SST daripada lapan peratus kepada enam peratus itu diumumkan sebagai sebahagian langkah kerajaan memperkukuh sokongan terhadap PMKS.