Tiga lelaki diburu, pecah rumah di Jasin

Gambar fail

JASIN, 15 Januari -Polis memburu tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Anjung Gapam, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki dikehendaki bagi kes pecah rumah di Taman Anjung Gapam, Jasin.
  • Pencuri mengumpil jeriji dan pintu kayu, mencuri wang tunai pelbagai mata wang sekitar RM1,500.
  • Orang ramai diminta hubungi Sarjan Muhammad Fadzlan Fitri Mis di 018-351 1594 jika ada maklumat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.20 malam, melibatkan kecurian wang tunai pelbagai mata wang asing bernilai kira-kira RM1,500.

Menurut beliau, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik pemilik rumah berusia 37 tahun.

“Mangsa menerima notifikasi CCTV ke telefon bimbit ketika dalam perjalanan pulang dan melihat dua lelaki berada di dalam rumah serta seorang lagi di luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Bemban untuk mendapatkan bantuan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati laci almari di bilik utama terbuka dan wang tunai melibatkan mata wang China, Indonesia, Thailand serta Korea dilaporkan hilang.

Siasatan awal mendapati suspek mengumpil jeriji besi dan pintu kayu di bahagian hadapan rumah untuk masuk ke kediaman tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Fadzlan Fitri Mis di talian 018-351 1594 atau balai polis berhampiran.