
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara, dengan nilai rampasan dan sitaan aset dianggarkan hampir RM1 juta.
- JSJN Kuala Lumpur menahan seorang suspek lelaki 29 tahun hasil tiga serbuan, dipercayai aktif sekitar tiga bulan.
- Rampasan termasuk pelbagai jenis dadah: MDMA cecair dan serbuk, ketamin, ganja, pil ekstasi dan Erimin 5.
- Polis menyita kenderaan, barang kemas, wang tunai; kondominium digunakan untuk memproses dan menyimpan dadah.
- Dadah dirampas mencukupi untuk hampir 3,800 penagih; suspek direman tujuh hari untuk siasatan bawah Seksyen 39B.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil tiga serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun pada 7 Januari lalu.
“Ini antara packing-packing barang yang mana kandungannya MDMA yang siap untuk diedarkan ke pasaran. Dadah sekarang dalam bentuk sebegini, berbeza dengan bentuk konvensional sebelum ini,” katanya dalam sidang media khas di IPK Kuala Lumpur pagi tadi.
Hasil pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan serta dua premis kediaman, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk cecair dan serbuk MDMA, ketamin, ganja, pil ekstasi serta pil Erimin 5, selain peralatan memproses dan membungkus dadah.
Polis turut menyita harta milik suspek termasuk kenderaan, barang kemas dan wang tunai.
Sindiket terbabit dipercayai menggunakan kondominium sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa, dan aktif sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung hampir 3,800 penagih pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, JSJN Kuala Lumpur mencatat kejayaan besar membanteras dadah sepanjang 2025.
Seramai 20,540 individu berjaya ditahan membabitkan 18,352 kes pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah, manakala jumlah dadah yang dirampas melebihi 1.08 juta kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.105 bilion.
“Polis agresif menjalankan operasi memerangi dadah, musuh nombor satu negara, dan Kuala Lumpur tidak terkecuali. Tindakan ini dilakukan secara agresif dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain serta bantuan ibu pejabat di Bukit Aman,” tambah beliau.