
SHAH ALAM, 19 Januari – Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000 yang didakwa berlaku antara 3 hingga 15 Mei tahun lalu.
- Pegawai Imigresen Mastura Aziz mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000.
- Suapan didakwa untuk membenarkan 56 warga Bangladesh masuk tanpa mematuhi prosedur di beberapa lokasi berasingan.
- Mahkamah benarkan jaminan RM20,000 dengan syarat laporan bulanan ke SPRM; sebutan semula kes pada 25 Februari.
Tertuduh, Mastura Aziz, 48, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Mastura yang ketika kejadian bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki warga asing sebagai balasan melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke negara ini tanpa mematuhi prosedur ditetapkan Jabatan Imigresen.
Tertuduh didakwa menerima wang rasuah masing-masing berjumlah RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 pada tarikh serta lokasi berasingan sepanjang Mei 2025.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk sebuah pusat beli-belah di Sepang, Pusat Penjaja Kota Warisan di Bandar Baru Salak Tinggi dan sebuah stesen minyak di Persiaran Warisan Maju.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras mencadangkan jaminan RM50,000 selain syarat tambahan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Geethan Ram Vincent memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan sentiasa hadir apabila dipanggil.
Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta menetapkan syarat tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.